Struktur Pembangunan Atlet Wilayah Persekutuan

Program pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan merangkumi pembangunan Atlet di lima (5) kategori peringkat umur. Pelbagai program yang dirancang dan dilaksanakan mengikut kategori-kategori Atlet bermula dengan program pelapis sehingga ke program SUKMA. Program-program yang dilaksanakan dirangka bersama persatuan sukan untuk memastikan Wilayah Persekutuan sentiasa dapat melahirkan atlet yang terbaik di setiap penyertaan SUKMA.

Program Latihan Atlet Dalam Negara merupakan program latihan berterusan yang dijalani oleh setiap Atlet yang telah terpilih dalam Program SUKMA. Dalam program latihan ini Atlet akan berlatih sepanjang tahun sekurang-kurangnya enam belas (16) setiap sebulan. Program latihan ini dikendalikan oleh Jurulatih MSWP yang dilantik bagi memastikan Atlet-atlet muda Wilayah Persekutuan yang berwibawa dan berbakat dilatih ke tahap prestasi yang bertaraf kebangsaan.

Objektif Program Latihan Atlet Dalam Negara

  1. Memberi latihan berterusan bagi meningkatkan prestasi Atlet.
  2. Persediaan untuk menghadapi kejohanan dalam negara khususnya SUKMA.
  3. Menilai dan memantau prestasi Atlet dari semasa ke semasa.
  4. Meningkatkan disiplin dan keyakinan Atlet.

Program Latihan Atlet Luar Negara merupakan program latihan di luar negara yang melibatkan beberapa sukan terpilih sahaja. Atlet-atlet yang terpilih dalam program ini akan dihantar berlatih di luar negara bersama dengan Atlet-atlet di negara tersebut untuk satu tempoh masa yang ditetapkan.

Objektif Program Latihan Atlet Luar Negara

  1. Memberi pendedahan kepada Atlet untuk menjalani sistem latihan di luar negara.
  2. Memberi pendedahan kepada Atlet terhadap keadaan suasana dan kemudahan sukan di luar negara.
  3. Meningkatkan prestasi dan taraf Atlet setanding dengan prestasi atlet luar negara.
  4. Meningkatkan persediaan dan keyakinan Atlet.

Penyertaan Kejohanan Dalam dan Luar Negara merupakan program yang menjadi keutamaan kepada MSWP bersama persatuan-persatuan sukan di Wilayah Persekutuan. Atlet-atlet yang menjalani latihan akan dihantar menyertai kejohanan-kejohanan yang kompetitif di dalam negara. Bantuan akan disalurkan kepada persatuan sukan yang berkaitan untuk membawa Atlet yang dipilih ke kejohanan tersebut. Bagi sukan-sukan yang kurang penganjuran kejohanan di dalam negara, atlet-atlet akan dihantar untuk menyertai kejohanan di luar negara. Walau bagaimanapun, penyertaan adalah bergantung kepada kejohanan-kejohanan di negara-negara tertentu dan khusus bagi sukan tertentu sahaja.

Program ini menjurus kepada atlet-atlet daripada sekolah dan menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan yang mendapat pingat serta cemerlang dalam satu-satu sukan. Program ini dijalankan melalui Unit Sukan Prestasi Tinggi Wilayah Persekutuan dengan menempatkan jurulatih secara sepenuh masa di sekolah tertentu selain daripada menggunakan kepakaran di kalangan guru-guru sekolah tersebut. Sekolah-sekolah yang terpilih akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Negeri (PLN) atau Daerah (PLD). Pemilihan Atlet Pelapis dilaksanakan melalui program berikut:

  • Talent Identification (TiD)
  • Talent Scouting

Objektif Program Pembangunan Atlet Pelapis

  1. Melahirkan Atlet Pelapis Wilayah Persekutuan.
  2. Mencungkil bakat-bakat baru.
  3. Memastikan kesinambungan Atlet berterusan bagi setiap sukan.

Tadbir urus sukan yang baik merupakan elemen penting dalam memastikan kejayaan sesuatu sukan. Persatuan yang diurus dengan professional dan teratur berpanduan peraturan dan perlembagaan adalah faktor utama untuk mencapai matlamat yang disasarkan. Oleh itu, pelaksanaan Kursus Pengurusan Sukan menjadi medium kepada pegawai-pegawai dan pentadbir sukan untuk mendapat pengetahuan serta pendedahan berkaitan kemahiran-kemahiran asas pengurusan organisasi. Pengurusan sukan adalah merangkumi perancangan, pelaksanaan program, pengurusan bajet, kepimpinan, penilaian dan penambahbaikan.

Objektif Kursus Pengurusan Sukan

  1. Melahirkan pegawai-pegawai dan pentadbir sukan yang professional.
  2. Memberi pendedahan berkaitan kemahiran dan pengetahuan asas pengurusan sukan.
  3. Memantapkan personaliti dan cara kerja yang effisien.
  4. Meningkatkan kefahaman tentang amalan terkini dalam pengurusan sukan bagi meningkatkan pencapaian dan mengekalkan kecemerlangan yang dicapai.

Kursus Sport Injury And Sport Massages

Penganjuran kursus ini adalah bertujuan bagi melatih, memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan pegawai dan pentadbir sukan berkaitan pengurusan kecederaan dan kemalangan dalam sukan. Kemahiran dan pengetahuan yang diperolehi dapat mempertingkatkan prestasi dan pencapaian sukan ke arah pembangunan industri sukan yang lebih baik. Kursus ini juga memberi keutamaan kepada Jurulatih, bekas Atlet dan pegawai-pegawai sukan khususnya di Wilayah Persekutuan.

Objektif Kursus Sport Injury And Sport Massages

  1. Melahirkan lebih ramai pegawai sukan yang profesional dan berkaliber.
  2. Memberi kesedaran berkaitan kecederaan yang di alami ketika bersukan dan cara mengatasinya.
  3. Melatih kemahiran berkaitan jenis-jenis kecederaan yang bakal dialami ketika melakukan aktiviti- aktiviti bersukan.

Kursus Sains Sukan

Lembaga Kejurulatihan Kebangsaan melalui Majlis Sukan Negara Malaysia (MSNM) telah mewujudkan satu Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) yang melibatkan Kursus Sains Sukan bagi memberi pendidikan formal dalam bidang kejurulatihan sukan. Skim ini terbahagi kepada tiga (3) tahap iaitu Tahap I, II dan III. Setiap tahap mempunyai komponen-komponen berikut :-

  • Sains Sukan (Kelolaan bersama Institut Sukan Negara).
  • Pengkhususan Sukan (Kelolaan bersama Persatuan Sukan Kebangsaan).
  • Praktikum Pengkhususan Sukan (bersama Kelolaan Persatuan Sukan Kebangsaan).

Objektif Kursus Sains Sukan

  1. Memberi peluang kepada jurulatih untuk menimba pengetahuan dalam bidang sains sukan agar dapat dimanfaatkan dalam memajukan bidang kejurulatihan.
  2. Membangunkan modal insan dari segi memperluaskan ilmu kejurulatihan melalui aspek sains sukan ke arah kaedah latihan yang lebih sistematik dan sainstifik.

Retreat Hala Tuju SUKMA

Retreat Hala Tuju SUKMA merupakan bengkel penyediaan perancangan dan sasarab untuk menghadapi SUKMA. Selain itu, retreat ini juga membolehkan setiap sukan membuat penambahbaikan dalam sistem latihan dan perancangan terutamanya mengenalpasti kelemahan-kelemahan sedia ada bagi meningkatkan lagi prestasi pencapaian Kontinjen Wilayah Persekutuan semasa SUKMA. Retreat akan melibatkan semua sukan wajib dan beberapa sukan pilihan yang tersenarai dalam penganjuran suatu SUKMA.

Objektif Retreat Hala Tuju SUKMA

  1. Merancang dan menilai persediaan pasukan/persatuan sukan dalam menghadapi SUKMA.
  2. Menetapkan sasaran pingat yang hendak dicapai semasa SUKMA.
  3. Mewujudkan persefahaman dan kerjasama di antara MSWP dan persatuan-persatuan sukan mengenai pelaksanaan serta pembiayaan program yang telah dirancang bagi memastikan ia dapat di laksanakan dengan baik.