MSWP Labuan
Fungsi MSWP di Wilayah Persekutuan Labuan

Wilayah Perksekutuan Labuan atau Pulau Labuan merupakan salah satu wilayah dibawah Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang terletak di kawasan perairan negeri Sabah dan berhampiran Negara Brunei. Kedudukan geografinya yang unik di dalam wilayah persekutuan, pelbagai potensi dapat diketengahkan dan salah satu prospek yang boleh diberi perhatian adalah sukan. Wilayah Persekutuan Labuan sendiri pernah melahirkan atlet bertaraf antarabangsa dalam pelbagai jenis sukan seperti bola sepak, silat, karate, boling padang, memanah dan sebagainya. Salah satu ikon lagenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani merupakan anak jati kelahiran Labuan.

Bagi memastikan pembangunan sukan di Labuan terus relevan,  Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) yang merupakan agensi yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan mengurus program pembangunan sukan serta sukan berprestasi tinggi di Wilayah Persekutuan telah menempatkan pegawai pembangunan sukan & perhubungan MSWP di Wilayah Persekutuan Labuan dibawah Jabatan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Perbadanan Labuan. Ini adalah salah satu inisiatif bagi memastikan agar kemandirian program pembangunan ketiga – tiga wilayah dapat di integrasikan sepenuhnya.

Sehubungan dengan itu juga, inisiatif menyelaras serta menstruktur semula Majlis Sukan Kawasan Pentadbiran di tiga Wilayah termasuk Labuan melalui pindaan dasar tanpa menafikan status persatuan sebagai persatuan negeri. Maka Majlis Sukan Labuan diberi nafas baru serta pengurusan yang lebih efektif, selaras dengan Pelan Pembangunan Sukan Wilayah Persekutuan 2020 – 2030.

    Berikut adalah  fungsi utama MSWP Labuan  

    1. Menyelaras dan menjalankan peranan utama MSWP di Wilayah Persekutuan Labuan Memberi fokus kepada Pembangunan Sukan di Wilayah Persekutuan Labuan melalui Majlis Sukan Labuan

    2. Menyelaras dan menjalankan program bakat sukan di Wilayah Persekutuan Labuan seiring dengan Program Bakat Sukan Wilayah (BSW)

    3. Memantau prestasi atlet SUKMA di Wilayah Persekutuan Labuan.

    4. Menjalankan peranan sebagai medium perhubungan badan sukan serta jurulatih di Wilayah Persektuan Labuan.Pelbagai program pembangunan serta penggalakan sukan telah dijalankan merangkumi pelbagai aspek iaitu pemantauan berterusan atlet sukan berprestasi tinggi, program penggalakan sukan (Sukan Massa) , bengkel pengurusan sukan , program pembangunan bakat sukan , serta program pendidikan dan pentauliahan sijil berkaitan sukan bagi memastikan agar Labuan tidak ketinggalan dan terus seiring dengan wilayah lain.

      Antara Program yang telah dijalankan:
      1. Ujian kecergasan berkala yang telah dilaksanakan oleh unit Sains Sukan MSWP yang merangkumi beberapa aspek sebagai penanda aras kepada tahap kecergasan atlet. Hasil dari ujian tersebut akan menjadi input kepada program latihan yang dilaksanakan oleh jurulatih.

      2. Bengkel Hala Tuju pembangunan Sukan Labuan telah diadakan pada 26 – 28 September 2019 bertempat di TH Hotel, Kota Kinabalu yang dihadiri oleh agensi berkaitan serta persatuan – persatuan sukan di wilayah Persekutuan Labuan.

      3. Sukan Parlimen peringkat Labuan yang telah berlangsung pada 12 Oktober 2019 di Kompleks Sukan Labuan. Seramai 50 pasukan futsal dan 10 pasukan bola jaring menyertai dan johan bagi kategori ini mewakili Wilayah Persekutuan Labuan ke Grand Final SUKPAR bertempat di Kompleks Futsal Mokhtar Dahari, Presint 18 Putrajaya.

      4. Karnival Bakat Sukan Labuan telah diadakan pada 15 – 16 November 2019 yang mempertandingkan 6 disiplin sukan iaitu olahraga, Petanque, Badminton, boling padang, bola tampar pantai dan eSport. Kira – kira 700 orang atlet telah menyertai Karnival Bakat ini.

      5. Kursus Sains Sukan Tahap 1 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan telah diadakan 25 – 29 November 2019 bertempat di Anjung budaya Perbadanan Labuan. Seramai 15 orang peserta terdiri dari jurulatih dan penggiat sukan di Wilayah Persekutuan Labuan.