Maklumat Pengerusi MSWP

MAKLUMAT PENGERUSI MSWP

YBhg. Datuk Ramlan Bin Haji Shahean@Askolani

PENGERUSI AHLI MAJLIS, MSWP

YBhg. Datuk Ramlan Bin Haji Shahean@Askolani, 59, telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) berkuat kuasa pada 1 September 2020. Anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini merupakan antara pemain tengah pasukan Harimau Malaysia yang sangat lincah dan agresif suatu ketika dahulu.

Beliau yang dilahirkan pada 21 Jun 1961 ini telah mendapatkan pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan 10, Petaling Jaya sebelum meneruskan pendidikan beliau di Sekolah Menengah Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah. Di usia remajanya, beliau sudah mula berjinak-jinak dengan sukan bola sepak dan berjaya melayakkan diri ke Piala Razak pada tahun 1980. Sejak itu, beliau telah memulakan karier sebagai pemain bola sepak di Negeri Jelapang Padi bagi dua musim.

Sebaik kembali ke Ibu Kota, beliau terus beraksi dalam saingan Piala Malaysia mewakili Kuala Lumpur malah, beliau juga pernah diberi peluang untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaysia sehingga tahun 1988. Kelincahannya di padang sentiasa menjadi sasaran pasukan lawan dan beliau sempat menyumbang bakti untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi satu musim sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada usia 31 tahun.

Selepas membuat keputusan untuk bersara, beliau mula menceburkan diri dalam dunia politik sekitar tahun 1993 sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai. Sejak itu, beliau mula terlibat secara langsung dalam arena politik yang jauh berbeza dengan kariernya sebelum ini sebagai pemain bola sepak. Malah, penglibatan beliau dalam arena politik semakin menyinar apabila dipilih menjadi Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai merangkap Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Meskipun telah menggantung kasut pada tiga dekad lalu, beliau masih lagi aktif di dalam arena sukan bola sepak apabila turut memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dengan kredibiliti dan karisma yang ada, pelantikan sebagai Pengerusi MSWP dilihat dapat memenuhi aspirasi penggiat sukan di Wilayah Persekutuan sekali gus meningkatkan prestasi sukan Wilayah Persekutuan.