Sains Sukan Dan Fasiliti

Unit Sains Sukan dan Fasiliti Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) telah diwujudkan pada tahun 2019 bagi menyediakan sokongan latihan berkaitan Sains Sukan dan membantu menyediakan tempat latihan bagi kegunaan jurulatih dan atlet Wilayah Persekutuan.

PERANAN UNIT SUKAN DAN FASILITI
  1. Penyediaan Program Latihan Suaian Fizikal.
  2. Menjalankan Program Ujian Kecergasan (Umum dan Spesifik) bagi atlet Wilayah Persekutuan.
  3. Menyediakan perkhidmatan Fisioterapi dan Pemulihan Kecederaan.
  4. Menyediakan Latihan Khas Psikologi Sukan.
  5. Pemeriksaan Kecederaan dan Kesihatan.
  6. Membantu dalam penyediaan Pusat Latihan Atlet SUKMA Wilayah Persekutuan.

Program Latihan Suaian Fizikal
Program Latihan Suaian Fizikal adalah merangkumi latihan bebanan dan suaian fizikal kepada atlet Wilayah Persekutuan. Plan latihan ini akan disediakan oleh Unit Sains Sukan dan Fasiliti melalui Jurulatih Kecergasan lantikan MSWP. Program ini bertujuan bagi memastikan atlet dalam keadaan bersedia dan mengurangkan risiko kecederaan. Plan latihan ini dijalankan melalui perbincangan awal bersama Jurulatih Sukan dalam memastikan keperluan umum dan spesifik dalam sukan tertentu.

Program Ujian Kecergasan Atlet
Ujian kecergasan adalah asas dalam persediaan atlet bagi menjalani latihan dan menyertai kejohanan. Ujian Kecergasan akan dijalankan oleh Jurulatih MSWP dengan bertujuan mendapatkan maklumat secara terperinci berkenaan tahap kecergasan atlet Wilayah Persekutuan sebelum program latihan khusus dirancang. Berdasarkan maklumat yang diperoleh dalam program ujian kecergasan, jurulatih kecergasan dapat merancang program latihan untuk atlet bagi memastikan tahap kecergasan atlet berada dalam keadaan yang terbaik dan meningkat sepanjang tempoh latihan.

 

Perkhidmatan Fisioterapi Dan Pemulihan Kecederaan
Unit Sains Sukan dan Fasiliti MSWP juga menyediakan perkhidmatan fisioterapi dan pemulihan kecederaan sukan bagi atlet Wilayah Persekutuan. Perkhidmatan ini penting bagi atlet yang mengalami kecederaan kecil disamping memastikan atlet dalam keadaan terbaik semasa menjalani latihan atau menyertai kejohanan.

 

Latihan Psikologi Sukan
Bagi memastikan atlet sentiasa bersedia menghadapi kejohanan, Unit Sains Sukan dan Fasiliti MSWP telah melantik Prof Madya Dr. Mazlan Bin Ismail sebagai Jurulatih Psikologi Sukan. Perkhidmatan sokongan ini penting bagi memastikan atlet sentiasa bersedia bukan sahaja dari segi fizikal malah bersedia dari segi mental. Perkhidmatan ini adalah dirancang bersesuaian mengikut jenis sukan dan persekitaran tersebut. Pelbagai Teknik psikologi sukan telah diterapkan dalam latihan ini seperti latihan “imagery” dan persediaan kendiri sebelum dan semasa menyertai kejohanan.

 

Pemeriksaan Kecederaan dan Kesihatan
Bagi memastikan atlet bersedia dan mampu beraksi dengan baik, MSWP telah menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kecederaan dan kesihatan kepada semua atlet Wilayah Persekutuan. Perkhidmatan ini memastikan atlet tidak mengalami kecederaan serius sebelum ke Temasya SUKMA Johor 2020 kelak. Perkhidmatan ini dikendalikan oleh pakar perubatan sukan, Dr. Nik Haziman Wan Hamat yang merupakan pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh.

 

Pusat Latihan Atlet Wilayah Persekutuan
Pusat Latihan adalah penting dalam memastikan jurulatih dan atlet dapat berlatih dengan lebih baik dan effisien. Tanggungjawab MSWP adalah sebagai badan penghubung dan membantu bagi menyediakan pusat latihan yang berkualiti dan sempurna. Dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan Wilayah Persekutuan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPJ) dan Perbadanan Labuan pihak MSWP dapat menyediakan tempat latihan bagi atlet Wilayah Persekutuan.