PUTRAJAYA, 4 OKTOBER 2017 – YBhg. Datuk Seri Adnan Bin Hj Md Ikshan Ketua Setiausaha, Kementerian Wilayah Persekutuan telah menyempurnakan Majlis Pemberian Insentif kepada atlet Wilayah Persekutuan yang telah memenangi pingat di Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017. Beliau menggantikan YB DSU Tengku Adnan bin Tengku Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan yang tidak dapat hadir ke majlis tersebut. Majlis bermula pada jam 4.00 petang, bertempat di Aras G, Atrium, Menara Seri Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan, Presint 2, Putrajaya.

Majlis ini dianjurkan oleh Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bertujuan untuk mengiktiraf dan meraikan para atlet Wilayah Persekutuan yang telah mewakili Malaysia dan berjaya memperolehi pingat emas, perak dan gangsa pada kedua-dua kejohanan sukan tersebut.

Daripada 874 orang atlet Kebangsaan yang telah menyertai Sukan SEA yang lalu, seramai 130 orang adalah atlet Wilayah Persekutuan dan telah menyumbang 33 pingat emas, 20 pingat perak dan 21 pingat gangsa. Manakala daripada 331 orang atlet Kebangsaan yang telah menyertai Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur yang lalu, seramai 37 orang adalah merupakan atlet Wilayah Persekutuan dan berjaya menyumbang 7 pingat Emas, 11 Pingat Perak dan 9 Pingat Gangsa.

Insentif berjumlah RM375,500 ini akan diberikan kepada atlet-atlet yang telah memenangi pingat emas, pingat perak dan pemenang pingat gangsa. Setiap atlet yang menyumbang pingat emas akan menerima insentif sebanyak RM5,000 bagi individu dan RM3,000 bagi berpasukan. Setiap atlet yang menyumbang pingat perak akan menerima insentif sebanyak RM1,500 bagi individu dan RM1,000 bagi berpasukan. Manakala insentif sebanyak RM1,000 bagi individu dan RM800 bagi berpasukan untuk setiap atlet yang menyumbang pingat gangsa.

Selain itu, pemberian insentif ini juga diberikan sebagai tanda menghargai pengorbanan dan usaha yang telah mereka berikan buat negara. Diharapkan dengan pemberian ini, ianya akan dapat meningkatkan motivasi dan galakkan kepada atlet Wilayah Persekutuan untuk terus memberikan pencapaian yang terbaik.

Wilayah Persekutuan turut berbangga kerana mampu melahirkan beberap butir permata pada Sukan SEA yang lalu antaranya atlet Muhammad Rafiq bin Ismail (tenpin bowling), Ng Eain Yow (squash) dan Aaliyah Yoong (Luncur Air) manakala bagi Para ASEAN atlet Muhammad Ziyad bin Zolkepli (lontar peluru) dan Faridul bin Masri dalam acara merejam lembing.

Sekalung tahniah diucapkan kepada semua!