Latar Belakang MWSP

LATAR BELAKANG MWSP

Majlis Sukan Kuala Lumpur ditubuhkan pada tahun 1979 di bawah Akta Majlis Sukan Negara 1971, Perintah Majlis Sukan Negara Malaysia Jadual Kedua (Pindaan) 1988. Majlis Sukan Kuala Lumpur yang pada masa itu berada di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bertanggungjawab untuk melaksanakan program pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seperti program pembangunan sukan atlet remaja, atlet berbakat dan berprestasi tinggi (elit) dalam arena sukan tempatan baik di peringkat dalam negeri mahupun antarabangsa.

Mulai 28 Oktober 1996, Majlis Sukan Kuala Lumpur dipisahkan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan diletakkan di bawah Bahagian Kemajuan Wilayah Persekutuan dan Perancangan Lembah Klang (BKWPPLK). Jabatan Perdana Menteri mengikut keputusan Jawatankuasa Kerja Bagi Mengkaji Jawatan-Jawatan Tertinggi (JKTT) Bil. 10/1996 . Pada 27 Mac 2004, Kementerian Wilayah Persekutuan telah ditubuhkan dan Bahagian Kemajuan Wilayah Persekutuan dan Perancangan Lembah Klang (BKWPPLK). Jabatan Perdana Menteri menjadi sebahagian daripadanya.

Walau bagaimanapun, Majlis Sukan Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada tahun 1979 adalah tidak meliputi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Wilayah Persekuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan dari segi Akta Majlis Sukan Negara (Pindaan) 1979 (Akta A460) Seksyen 2(a). Seksyen tersebut hanya menyatakan kewujudan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Majlis Sukan Negeri di bawah seksyen 7 dan tidak merujuk kepada Majlis Sukan Kuala Lumpur.

PENUBUHAN MSWP

Menyedari akan peruntukan Akta A460 seperti di atas, Kementerian Wilayah Persekutuan telah mengambil tindakan menubuhkan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan. Cadangan ini telahpun diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui surat KBS.BS.01/117(3) bertarikh 21 Februari 2005 dan penubuhan tersebut telah diwartakan pada 9 Mac 2006.

Dengan penubuhan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Majlis Sukan Kuala Lumpur , Majlis Sukan Labuan dan Majlis Sukan Putrajaya akan berfungsi sebagai Majlis Sukan Daerah di Wilayah Persekutuan. Urusan Pentadbiran Majlis Sukan Kuala Lumpur akan berada di bawah tanggung jawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Majlis Sukan Labuan diuruskan oleh Perbadanan Labuan manakala Perbadanan Putrajaya pula akan menguruskan hal ehwal Majlis Sukan Putrajaya. Majlis Sukan Wilayah Persekutuan akan bertindak sebagai badan induk kepada ketiga-tiga majlis sukan tersebut dari segi pembangunan sukan selaras dengan dasar Kerajaan termasuklah persiapan kontinjen bagi pemilihan atlet dan juga penyediaan pasukan Wilayah Persekutuan ke Sukan Malaysia (SUKMA)

Pada masa sekarang terdapat 8 persatuan sukan yang bernaung di bawah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, 28 persatuan sukan di bawah Majlis Sukan Kuala Lumpur, 19 di bawah Majlis Sukan Labuan dan 7 di Putrajaya. Majlis Sukan Wilayah Persekutuan bertanggungjawab dalam perlaksanaan program pembangunan sukan, latihan, penganjuran kejohanan/kursus/seminar serta kewajipan penyertaan dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa yang kerapkali melibatkan persatuan sukan di Wilayah Persekutuan.

Selain  itu, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan juga bertanggungjawab sebagai urusetia kontinjen Wilayah Persekutuan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) yang diadakan setiap dua tahun sekali. Dari segi pencapaian dalam SUKMA, Kontinjen Wilayah Persekutuan adalah dalam kelompok lima pasukan yang terbaik pada SUKMA XII, Terengganu 2008.

Majlis Sukan Wilayah Persekutuan telah menjadi sebuah Badan Berkanun Persekutuan berkuatkuasa pada 1 April 2012.